BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, August 29, 2009

Erti Kemerdekaan: Bersyukurlah...

Laungan keramat kemerdekaan yang bergema pada tanggal 31 Ogos 1957, telah membuka lembaran baru bagi negara Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka. Tanpa disedari kini telah 52 tahun berlalu, menunjukkan umur negara Malaysia yang tercinta ini telah mencecah ke usia emas. Pada tahun 2009, rakyat Malaysia tambah bertuah kerana Hari Kemerdekaan Malaysia disambut dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah. Ibarat pakej yang mantap daripada Allah azzawajalla untuk kita memuhasabah diri bagi memahami erti sebenar kemerdekaan.

Malaysia tanah airku..

Kemerdekaan merupakan satu aset yang amat berharga bagi sesebuah negara, kerana daripada kemerdekaan inilah akan bermulanya era pemerintahan sendiri yang meletakkan masa depan sesebuah negara di tangan bangsa yang memilikinya. Erti kemerdekaan hanya akan dapat dihayati sekiranya didasari oleh pemahaman kemerdekaan secara holistik di mana kemerdekaan bukanlah hanya merangkumi aspek fizikal semata-mata tetapi kemerdekaan turut meliputi aspek mental dan spiritual.

Sekiranya disingkap kembali lembaran sambutan kemerdekaan yang telah dijalankan pada tahun-tahun yang lalu, ternyata erti kemerdekaan belum benar-benar berjaya digarap dan dicerna nilainya oleh masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda yang bakal menggalas kepimpinan negara di masa hadapan. Saban tahun dapat disaksikan kemerdekaan disambut dengan laungan penuh semangat tetapi disulami dengan aktiviti dan program yang terang-terang menodai nilai kemerdekaan itu sendiri. Sambutan kemerdekaan yang dimulakan dengan niat dan hasrat yang suci akhirnya tenggelam dalam riuh-rendah acara nyanyian, tarian dan pelbagai bentuk hiburan. Seharusnya ulang tahun kemerdekaan disambut dengan penganjuran aktiviti yang mampu menterjemahkan nilai-nilai kesyukuran dan memberi kesedaran ke arah peri pentingnya memperjuangkan dan mengekalkan kemerdekaan.

Adakah kita harus membiarkan negara kita dijajah sekali lagi supaya kita akan benar-benar memahami erti perjuangan kemerdekaan dan menghargainya? Jika tidak apakah alternatif untuk kita mewujudkan kesedaran ini? Jika kita sendiri tidak sanggup menggantikan kemerdekaan ini dengan penjajahan, maka jalan yang paling hampir untuk menyelami maksud sebenar penjajahan itu adalah dengan menghayatinya melalui penderitaan dan kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh mereka yang sedang terjajah. Apakah contoh yang paling dekat di hati kita selain negara Palestin? Kerana mereka turut berpuasa sepertimana kita rakyat Malaysia yang merdeka ini . Namun dalam serba kekurangan dan kehampaan kerana nasib mereka yang tidak pernah terbelakan walaupun berada di negara sendiri yang merdeka. Sejak tertubuhnya negara haram Israel di atas tanah rakyat Palestin, kemerdekaan yang dikecapi semenjak sekian lama ibarat tidak pernah wujud. Keadaan ini ditambahburukkan lagi dengan kewujudan tembok apartheid yang menjadikan Negara Palestin hanya tinggal sebesar Gaza sahaja. Segala keperluan asasi rakyat Palestin dibatasi bahkan dihalang sehingga menyebabkan hospital kekurangan ubat dan peralatan, bekalan eletrik terputus,........

Sebagai memikul tanggungjawab pengislahan kepada masyarakat mengenai makna sebenar kemerdekaan serta menyahut suara pembelaan kemanusiaan sejagat, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) berganding bahu menganjurkan Program Ramadhan di Ambang Merdeka 2009 yang bertempat di Masjid Negeri Selangor Darul Ehsan pada 30 Ogos 2009, bermula seawal 2.00 petang sehingga 12.30 malam. Hasrat yang ingin dicapai melalui program ini diterjemahkan dengan menggariskan beberapa objektif iaitu:

  1. Meraikan sambutan kemerdekaan Malaysia ke-52 di peringkat Selangor di Ramadhan
  • Memberikan kesedaran mengenai erti kemerdekaan secara holistik dan realisitik
  1. Membawa kesedaran tentang peri penting kemerdekaan fizikal seiring dengan kemerdekaan spiritual yang sebenarnya perlu dihayati
  • Memberi kesedaran kepada kita tentang erti perjuangan kemerdekaan rakyat Palestin yang terjajah sejak lebih 61 tahun lalu.

Melalui program kreatif dan yang seumpamanya ini diharap laungan kemerdekaan yang bakal bergema pada malam tanggal 31 Ogos 2009, adalah mewakili suara ummah yang sentiasa mencintai dan merindui kemerdekaan yang sebenar. Di samping tersedianya satu acara sambutan kemerdekaan dengan format baru yang lebih segar dan bersesuaian dengan semua keadaan dan masa sehingga tidak janggal diraikan di bulan Ramadhan.

*untuk maklumat lanjut di http://www.event4u. com.my/merdeka/ indexmerdeka. html

Ramadhan Diambang Merdeka 2009


..:tulipputeh:..

..:kelana jaya:..

..:bersyukur dengan nikmatNya:..


0 comments: